Print  |  Favourites

FMM senaraikan 4 pertimbangan utama pelaksanaan gaji minimum baharu

FMM In The News: BERITA HARIAN, KUALA LUMPUR, 1hb Februari 2025 -  Persekutuan Pekilang Malaysia (FMM) menyenaraikan empat pertimbangan utama bagi memastikan pelaksanaan gaji minimum baharu yang lebih seimbang termasuk meminta kadar itu tidak dijadikan penanda aras gaji permulaan dalam industri di negara ini.  

Presidennya, Tan Sri Soh Thian Lai, berkata selain itu, gaji minimum sebanyak RM1,700 juga perlu dilaksanakan secara berbeza mengikut negeri dan industri, meningkatkan pembabitan pemegang taruh dalam dasar terbabit selain penyediaan langkah sokongan terhadap cabaran kenaikan gaji kepada kos operasi perniagaan.  

Mengulas lanjut katanya, FMM bagaimanapun komited untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi memastikan dasar gaji minimum baharu dapat dilaksanakan dengan jayanya.  

"Pelaksanaan gaji sebanyak RM1,700 itu boleh dilaksanakan dengan mengimbangi keperluan pekerja serta kelangsungan dan daya saing perniagaan.  

"FMM mengiktiraf usaha kerajaan untuk meningkatkan kebajikan pekerja dan kuasa beli mereka di bawah rangka kerja ekonomi MADANI, yang menekankan pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan.  

"Namun kami mengharapkan pelaksanaan kadar gaji minimum secara berperingkat, yang mengambil kira keperluan untuk mengimbangi gaji pekerja dengan inflasi sambil memastikan pertumbuhan industri yang mampan," katanya melalui kenyataan, di sini hari ini.  

Seramai 4.37 juta pekerja akan menerima gaji minimum RM1,700 sebulan, berbanding RM1,500 sebelum ini berikutan pelaksanaan Perintah Gaji Minimum baharu berkuat kuasa secara rasmi, hari ini.  

Pada masa sama, Thian Lai berkata, berdasarkan pertimbangan pertama, FMM tidak mahu gaji minimum dijadikan sebagai penanda aras gaji permulaan bagi semua pekerja dalam industri sebaliknya, ia perlu ditentukan berdasarkan kelayakan calon dan skop pekerjaan yang mencerminkan kemahiran, kelayakan serta tanggungjawab mereka.  

Katanya, FMM lebih menggalakkan penggunaan sistem gaji berasaskan produktiviti bagi menggalakkan peningkatan produktiviti serta memastikan pekerja menerima ganjaran yang adil atas sumbangan mereka.  

"Selain itu, FMM bimbang bahawa pelaksanaan kadar gaji minimum RM1,700 secara menyeluruh di seluruh negara mungkin memberi kesan yang berbeza kepada negeri dan industri.  

"Keadaan ekonomi dan kos sara hidup berbeza dengan ketara antara negeri dan wilayah dan pendekatan seragam boleh memberikan tekanan tambahan kepada perniagaan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).  

"Oleh itu, FMM mencadangkan supaya pelarasan gaji pada masa hadapan mengambil kira model berdasarkan negeri atau wilayah bagi mencerminkan realiti ekonomi tempatan dengan lebih berkesan, seperti yang diperuntukkan dalam Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011," katanya.  

Beliau berkata, FMM turut menggesa Majlis Perundingan Gaji Negara (NWCC) untuk mengukuhkan pembabitan pemegang taruh dan menjalankan kajian menyeluruh mengenai kesan sosioekonomi dasar gaji minimum pada masa hadapan.  

Katanya, ini penting bagi memastikan keputusan yang dibuat adalah berasaskan data dan mencerminkan landskap ekonomi Malaysia yang pelbagai.  

"Peningkatan kadar gaji minimum yang ketara, walaupun baik namun tetap membawa cabaran kepada perniagaan yang sedang berdepan dengan peningkatan kos operasi, inflasi, dan ketidaktentuan ekonomi, khususnya bagi pengilang dalam sektor intensif buruh.  

"Atas dasar itu, FMM meminta kerajaan untuk bekerjasama rapat dengan pihak industri dalam memantau kesannya dan menyediakan langkah sokongan peralihan membabitkan insentif cukai, geran atau bantuan kewangan bagi inisiatif automasi dan peningkatan kemahiran tenaga kerja," katanya.

Back to Top

Advertising Opportunities in FMM's Directories:
Copyright © 2023 Federation of Malaysian Manufacturers Co. Registration No. 196801000309 (7907-X) 
Wisma FMM, No 3 Persiaran Dagang, PJU 9, Bandar Sri Damansara, 52200 Kuala Lumpur. 
Read FMM Personal Data Protection Act Policy