Print  |  Favourites

FMM cadang GST diperkenal semula perkukuh daya saing Malaysia

FMM In The News: BERITA HARIAN, 12 Jun 2025

KUALA LUMPUR: Persekutuan Pengilangan Malaysia (FMM) mengemukakan cadangan kepada kerajaan supaya memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang menawarkan penyelesaian cukai lebih cekap, telus dan menyeluruh.

Presiden FMM, Tan Sri Soh Thian Lai, berkata pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dilihat memberikan kesan kepada industri serta boleh menjejaskan daya saing eksport Malaysia sebagai sebuah negara perdagangan.

Menurutnya, hal ini kerana perluasan skop SST menyebabkan berlaku pertindihan yang meningkatkan kos serta mengganggu rantaian bekalan.

"Justeru, FMM mencadangkan agar kerajaan melaksanakan semula GST yang direka bentuk dengan baik, termasuk memperkenalkan kadar sifar untuk eksport dan barangan keperluan asas.

"Ini akan mengurangkan kesan cukai atas cukai (tax-on-tax), meningkatkan pematuhan cukai dan secara mampan mengukuhkan hasil negara," katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, katanya pelaksanaan GST juga akan membolehkan pengurangan lebih pantas terhadap defisit fiskal dan hutang negara, di samping memberikan fleksibiliti dasar untuk mengurangkan cukai langsung seperti cukai pendapatan korporat dan individu.

"Peralihan kepada GST akan menjadikan Malaysia sebuah destinasi pelaburan yang lebih berdaya saing dan menarik serta menyokong daya tahan ekonomi dalam jangka panjang.

"FMM percaya Malaysia mesti beralih kepada kerangka cukai yang lebih kukuh dan bersedia untuk masa depan. Dalam masa sama, semakan menyeluruh dan penangguhan peluasan SST amat diperlukan dalam jangka masa terdekat," katanya.

Kerajaan MADANI akan melaksanakan semakan kadar dan perluasan skop SST mulai 1 Julai 2025 secara bersasar yang memperlihatkan barangan pilihan tertentu seperti 'king crab', salmon, kod, cendawan truffle, buah-buahan import, 'essential oil', kain sutera dan jentera industri akan dikenakan cukai jualan sebanyak lima peratus, sementara beberapa barangan pilihan premium dikenakan cukai jualan sebanyak 10 peratus seperti basikal lumba dan lukisan tangan antik.

Mulai 1 Julai 2025, skop cukai perkhidmatan diperluaskan meliputi enam jenis perkhidmatan iaitu sewaan atau pajakan, kerja pembinaan, kewangan, jagaan kesihatan swasta, pendidikan dan kecantikan.

Mengulas lanjut, Thian Lai berkata, anggaran awal FMM menunjukkan bahawa perniagaan dalam sektor logistik, pembuatan dan peruncitan yang bergantung kepada premis sewaan berisiko menghadapi peningkatan kos tahunan antara RM24,000 hingga RM60,000 bagi setiap premis akibat cukai perkhidmatan lapan peratus.

Beliau berkata, kos tambahan ini mungkin terpaksa dipindahkan kepada pengguna atau memaksa perniagaan mengecilkan operasi.

Justeru, katanya, FMM menggesa kerajaan supaya menjalankan semakan menyeluruh terhadap peluasan SST, disokong oleh penilaian impak ekonomi yang komprehensif merangkumi kesan terhadap Indeks Harga Pengguna (IHP), kos input, daya tahan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan daya saing perniagaan secara keseluruhan.

Menurutnya, kerajaan juga perlu mengadakan lebih banyak perbincangan dengan pihak berkepentingan bagi menyelaraskan garis masa pelaksanaan dan proses pentadbiran dengan realiti operasi industri.

Sehubungan itu, katanya, FMM meminta kerajaan supaya menangguhkan lagi penguatkuasaan peluasan skop SST yang dijadualkan bermula 1 Julai 2025, sehingga semakan selesai dan kesiapsiagaan pelaksanaan dalam kalangan industri benar-benar terjamin.

"FMM turut meminta agar senarai pengecualian diperluaskan, khususnya bagi perbelanjaan modal seperti jentera dan peralatan yang digunakan dalam pengeluaran, kerana mengenakan cukai ke atas input-input ini akan terus memberi kesan kepada keputusan pelaburan, pemodenan industri dan daya saing jangka panjang," katanya.

Thian Lai berkata, kerajaan juga perlu menilai semula cadangan meliputi perkhidmatan pembinaan serta perkhidmatan pajakan dan sewaan, memandangkan kesan kos yang luas merentasi pelbagai sektor.

"Langkah-langkah ini dijangka meningkatkan perbelanjaan operasi dan memberi kesan rantaian ke seluruh sistem bekalan.

"FMM bimbang dan memberi amaran bahawa pelaksanaan peluasan cukai pada waktu yang tidak sesuai ini akan menambah tekanan inflasi, kerana perniagaan yang sudahpun terkesan dengan kenaikan kos termasuk impak tarif balas Amerika Syarikat (AS) terhadap eksport yang masih belum diselesaikan.

"Perniagaan mungkin tidak mempunyai pilihan selain memindahkan beban tambahan ini kepada pengguna," katanya.

Back to Top

Advertising Opportunities in FMM's Directories:
Copyright © 2025 Federation of Malaysian Manufacturing {Company Registration No. 196801000309 (7907-X)} 
(Formerly known as Federation of Malaysian Manufacturers)
Wisma FMM, No 3 Persiaran Dagang, PJU 9, Bandar Sri Damansara, 52200 Kuala Lumpur. 
Read FMM Personal Data Protection Act Policy