Print  |  Favourites

'Surcaj tenaga elektrik kepada PKS sepatutnya lebih rendah' - FMM

FMM In The News: BH ONLINE, KUALA LUMPUR, 29 Jun 2024 - Persekutuan Pekilang Malaysia (FMM) berharap ada ketelusan dalam pengiraan pengurangan surcaj seperti yang diumumkan kerajaan untuk pengguna bukan domestik, hari ini.

Presiden FMM, Tan Sri Soh Thian Lai, berkata pihaknya agak kecewa dengan penurunan kadar surcaj Pelepasan Kos Tidak Berimbang (ICPT) memandangkan pengurangan masih dalam tempoh kajian ketika harga arang batu menurun sejak setahun lalu.

Beliau berkata, pihak industri juga mahu kerajaan mengkaji semula kelayakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di bawah kategori voltan sederhana (MV) bagi membolehkan mereka mendapat surcaj lebih rendah.  

"Ia sama seperti kadar diberikan kepada sektor perkhidmatan air yang kini dikurangkan kepada 2.7 sen/kilowatt sejam (kWj) daripada 3.7 sen/kWj sebelumnya.  

"Industri secara amnya, termasuk PKS terus beroperasi dalam persekitaran yang mencabar kerana ketidaktentuan pertumbuhan ekonomi.  

"Malah isu inflasi pada tahun ini masih menjadi kebimbangan berikutan kesan rasionalisasi subsidi dan konflik geopolitik berpanjangan," katanya dalam kenyataan hari ini.  

Terdahulu, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) mengumumkan pemgguna komersial dan industri akan mengalami penurunan kadar surcaj ICPT 1sen per kilowatt sejam (kWj) antara 1 Julai hingga 31 Disember ini.  

Katanya, ia selari keputusan kerajaan menetapkan tiada kenaikan tarif elektrik kepada semua pengguna di Semenanjung sepanjang tempoh berkenaan.  

Selain itu, katanya, surcaj bagi kategori lampu jalan (tarif G dan G1) seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) diturunkan sebanyak 1 sen/kWj bagi tempoh sama.  

Mengulas lanjut, Thian Lai berkata, PKS berhak mendapat pengurangan surcaj kerana industri itu menyumbang 98 peratus daripada jumlah pertubuhan perniagaan di negara ini serta menggaji 7.3 juta tenaga kerja.  

"PKS negara ini juga menyumbang kepada 37.4 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan persekitaran surcaj tinggi secara berterusan tidak mampu membuatkan industri itu untuk terus berdaya saing dalam jangka masa panjang," katanya.  

Dalam pada itu, Thian Lai berkata, memandangkan kerajaan kini sedang menjalankan kajian semula terhadap Peraturan Berasaskan Insentif (IBR) untuk Tempoh Kawal Selia (RP) bagi tahun 2025 hingga 2027, FMM berharap kajian semula tarif asas dapat dilaksanakan.  

"Ia secara tidak langsung dapat menangani ketidakpadanan struktur kos hasil sebagai persediaan untuk tenaga peralihan dan pengaturan akses pihak ketiga dalam memastikan kadar tarif perindustrian kekal kompetitif dan menarik di rantau ini," katanya.

Back to Top

Advertising Opportunities in FMM's Directories:
Copyright © 2023 Federation of Malaysian Manufacturers Co. Registration No. 196801000309 (7907-X) 
Wisma FMM, No 3 Persiaran Dagang, PJU 9, Bandar Sri Damansara, 52200 Kuala Lumpur. 
Read FMM Personal Data Protection Act Policy